Minggu 2: Pandangan Trader

Ulasan Mingguan

Minggu pertama tahun 2020 membuka dengan kejutan geo-politik apabila Jumaat sebelumnya, 27 Disember 2019, Amerika Syarikat atas perintah Presidennya Donald Trump telah mengarahkan tentera AS yang berpangkalan di Teluk untuk menyerang konvoi tentera Iran yang masih berada di Iraq. Keputusan itu dibuat selepas sebelumnya kedutaan AS di Iraq diserang dan mengorbankan seorang warga AS. Iran menafikan terlibat dalam serangan tersebut.

Namun begitu, media massa hanya melaporkan kejadian serangan balas tersebut pada hari Ahad, 29 Disember 2019. Pasaran saham masih menutup tinggi pada 31 Disember 2019, sehari sebelum tahun baru. Keseluruhan pasaran hadapan (-0.14%) pula memberikan reaksi dengan menutup rendah pada Jumaat lepas, 3 Januari 2020, dengan permintaan diketuai oleh produk tenaga/minyak (+1.45%), kewangan/bon (+0.62%) dan logam (+0.57%); sementara indeks saham (-0.74%), produk bijirin (-1.01%) dan daging (-1.67%) tertekan.

Di pasaran hadapan matawang pula, aliran ke matawang “safe-haven” dapat dilihat apabila Yen (+0.49%) dan Swiss (+0.04%) mengetuai permintaan; sementara Dolar Australia (-0.34%), Peso Mexico (-0.38%) dan Pound British (-0.40%) ketinggalan.

Namun begitu, Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran masih berada dalam trend menaik, dengan 10 mata pada setahun yang lalu, 67 mata pada sebulan yang lalu dan menutup dengan 93 mata pada Jumaat lepas.

Pasaran yang tipis selepas cuti tahun Baru yang datang selepas cuti Hari Natal, tidak banyak mendorong pegerakan pasaran; ekoran kebanyakan institusi dan pedagang yang masih bercuti sempena tahun baru. Namun perkembangan terbaru yang berlaku di Timur Tengah menyebabkan aset tradisi “safe-haven” memacu permintaan.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+1.32%), S&P500 (+0.48%), Dow (+0.58%), TSX (+0.25%) Eropah – SMI (+0.61%), EuroStoxx (+0.38%), DAX (-0.31%), FTSE UK (+0.46%) Asia/Australia – Nikkei (-0.34%), HangSeng (+0.47%), KLCI (+1.40%), ASX (+2.13%).

(Baca pandangan minggu pertama disini)

 

Pandangan Mingguan

Pasaran dijangka terus memberikan perhatian utama kepada perkembangan geo-politik di Timur Tengah dan menanti reaksi Iran kepada serangan balas AS yang mengakibatkan kematian Jeneral Tenteranya Qassem Suleimani. Dalam satu perkembangan lain, Menteri Luar Iran, diberitakan telah dinafikan visa memasuki AS untuk persidangan PBB dan ini semestinya mengeruhkan lagi keadaan. Aset “safe-haven” dilihat akan terus menjadi pilihan pelabur dalam masa terdekat.

Amerika Syarikat & Kanada

Minggu ini merupakan minggu pertama NFP untuk tahun 2020 dimana sektor pekerjaan bukan perladangan Amerika Syarikat dijangka akan menambah 164 ribu pekerjaan pada bulan Disember berbanding 266 ribu pada bulan sebelumnya. Kadar pengangguran pula dijangka stabil pada 3.5% dan sebelum itu data dari ADP menjangka 160 ribu pekerjaan ditambah berbanding 67 ribu pada sebelumnya.

Jiran Amerika Syarikat, Kanada pula bakal melaporkan pertambahan pekerjaan sebanyak 25 ribu berbanding kehilangan 71,200 pekerjaan sebelumnya. Harga minyak mentah yang dijangka terus memacu naik kesan dari perang Iran-AS; dilihat akan memberikan sokongan kepada CAD.

Eropah

Eropah membuka minggu dengan laporan indeks pengurus pembelian UK yang lebih baik dari jangkaan. Indeks perkhidmatan UK dilaporkan naik dari 49 kepada 50 mata, lebih tinggi dari jangkaan sebanyak 49.1 mata. Sementara itu, indeks komposit juga naik lebih baik, kepada 49.3 mata berbanding jangkaan 48.6 mata dan 48.5 sebelumnya. Khamis nanti, Gabenor Bank Pusat England dijangka akan memberikan ucapan tahun baru pasca kemenangan Parti Konservatif dalam pilihanraya umum UK pada awal Disember lepas.

Euro mendapat sedikit permintaan selepas inflasi dilaporkan stabil pada 1.3% dan Bank Pusat Eropah pula bakal melaporkan minit mesyuarat terbaru pada Khamis ini yang semestinya akan menarik perhatian pelabur yang mahukan pandangan Presiden baru ECB, Puan Christine Lagarde, mantan Pengarah Urusan IMF.

Asia/Australia

Asia dijangka sepi lantaran ketiadaan laporan ekonomi berimpak tinggi selain dari laporan jualan runcit Australia yang dijangka meningkat sebanyak 0.4%. Walaupun ini baik untuk Aussie, dengan sentimen perang AS-Iran, matawang komoditi secara umum dijangka akan terus tertekan kecuali CAD yang mendapat tempias dari kenaikan harga minyak mentah.

Saham

Pasaran saham dijangka masih dipenuhi dengan aktiviti pengambilan untung, “hedging” dan “portfolio rebalancing” lantaran terdapat pengurus dana yang masih dalam proses menutup buku tahunan dan membuat persedian untuk membayar bonus serta dividen tahunan kepada pelabur.

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

Related articles

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Share article

Latest articles

Newsletter

Subscribe to stay updated.

font-family: futura-pt, sans-serif; font-style: normal; font-weight: 300;