Minggu 3: Pandangan Trader

Ulasan Mingguan

Serangan balas Iran ke atas pengkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq mengejutkan pasaran, namun kenyataan Presiden AS bahawa pengkalan tersebut masih utuh dan akan menambah sekatan dagangan ke atas Iran membuatkan pasaran tenang semula dan harga minyak serta emas yang sebelumnya memuncak, merudum mencari arah selanjutnya.

China yang dijangka menandatangani perjanjian dagang fasa pertama minggu ini di Washington, meniupkan nafas optimis kepada pasaran selepas laporan NFP sedikit mengecewakan. Kesemua komponen pasaran hadapan (+0.41%) menutup positif pada Jumaat lepas dengan permintaan diketuai oleh barangan lembut (+1.10%), logam (+0.75%) dan bijirin (+0.51%); sementara indeks saham (-0.38%) ketinggalan.

Di pasaran hadapan matawang pula, sentimen optimis ini dapat dilihat apabila kesemua matawang utama menutup positif dengan diketuai oleh Dolar Australia (+0.86%), Peso Mexico (+0.36%) dan Dolar Kanada (+0.14%); sementara matawang “safe-haven” Yen (-0.01%) dan Dolar AS (-0.09%) hilang permintaan.

Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran sedikit turun selepas berada dalam trend menaik; dengan 31 mata pada setahun yang lalu, 61 mata pada sebulan yang lalu dan menutup dengan 91 mata pada Jumaat lepas.

Pembukaan pasaran tahun baru 2020 yang mengejutkan, dijangka akan membuatkan pelabur terus berada dalam sentimen berhati-hati; terutamanya menjelang pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada hujung tahun ini. Dolar dilihat telah pun mencapai kemuncak nilai pada tahun lepas dan sebarang kenaikan dilihat sebagai peluang menjual. Di samping itu, aset ‘safe-haven’ dijangka mendapat permintaan untuk jangka panjang.

Bank-bank utama juga dilihat mula mengorak langkah dengan memindahkan modal ke negara membangun untuk mengimbangi risiko portfolio mereka. Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+3.75%), S&P500 (+1.58%), Dow (+1.31%), TSX (+1.34%) Eropah – SMI (+0.21%), EuroStoxx (+0.76%), DAX (+1.50%), FTSE UK (+1.10%) Asia/Australia – Nikkei (+1.56%), HangSeng (+2.47%), KLCI (-0.51%), ASX (+4.16%).

(Baca pandangan minggu kedua disini)

 

Pandangan Mingguan

Rabu 15 Januari bakal menjadi tarikh keramat apabila Amerika Syarikat dan China menandatangani perjanjian perdagangan fasa pertama yang akan membuka langkah untuk memberikan imbangan dagangan yang lebih baik untuk Amerika Syarikat. Buat masa ini, defisit dagangan Amerika Syarikat yang terus membesar semenjak Presiden Trump mengambil alih pentadbiran, dilihat boleh memberikan risiko inflasi kepada ekonomi terbesar dunia itu.

Indeks Dolar (DXY) yang telah pun mencapai kemuncak sekitar 99.70 mata pada hujung September 2019, dilihat akan terus tertekan lantaran jangkaan ketiadaan sebarang kenaikan kadar faedah untuk sepanjang tahun ini. Penganalisis melihat kejatuhan ke paras 95.20/30 untuk tiga bulan akan datang. Paras 97.50/80 dilihat sebagai rintangan utama sebelum paras psikologi 98.00 mata.

Amerika Syarikat & Kanada

Selepas minggu NFP yang mengecewakan, Dolar AS mendapat sedikit sokongan selepas inflasi tahunan dilaporkan meningkat seperti jangkaan, 2.3% berbanding 2.1% sebelumnya. Namun inflasi teras tahunan masih stabil pada 2.3% sementara indeks harga pengeluar dijangka meningkat sebanyak 0.2%.

Dolar dijangka kukuh dengan jangkaan jualan runcit yang bertambah baik (0.2% kepada 0.3%) dan indeks perkilangan Philadelphia yang juga dijangka meningkat dari 2.4 kepada 3.8 mata. Sebarang laporan negatif boleh merudumkan Dolar, namun dengan ketiadaan laporan berimpak tinggi dari jirannya Kanada, kejatuhan dilihat akan terhad lantaran sokongan dari bank-bank Kanada.

Eropah

Eropah membuka minggu dengan kekecewaan apabila KDNK tahunan UK dilaporkan menguncup kepada 0.6% dan angka sebelumnya disemak turun daripada 1.1% kepada 1%. Tambah mengecewakan apabila indeks produksi perkilangan UK (-1.7%) merosot jauh lebih teruk dari jangkaan (-0.3%). Namun Pound mungkin selamat dari kejatuhan berterusan dengan inflasi tahunan yang dijangka stabil pada 1.5% dan pembentangan belanjawan baru.

Dalam pada itu, nasib Euro bakal ditentukan dengan inflasi tahunan yang dijangka stabil pada 1.3% dan pembentangan akaun dalam minit mesyuarat terbaru ECB bersama ucapan Presiden ECB.

Asia/Australia

Asia dijangka terus sepi minggu ini lantaran ketiadaan laporan ekonomi berimpak tinggi selain dari laporan KDNK tahunan China yang dijangka stabil pada 6%. Namun, dengan indeks produksi perindustrian tahunan yang dijangka menurun dari 6.2% kepada 5.9% ini mungkin mengekang bidaan besar-besaran untuk Aussie. Apapun, sentimen perjanjian dagangan antara AS dan China semestinya berita baik untuk matawang komoditi.

Saham

Pasaran saham dijangka masih dipenuhi dengan aktiviti pengambilan untung, “hedging” dan “portfolio rebalancing” lantaran terdapat pengurus dana yang masih dalam proses menutup buku tahunan dan membuat persedian untuk membayar bonus serta dividen tahunan kepada pelabur.

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

Related articles

Comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Share article

Latest articles

Newsletter

Subscribe to stay updated.

font-family: futura-pt, sans-serif; font-style: normal; font-weight: 300;